Dicatat oleh Mohd Fitri Ismail

Daripada Abu Ayyub r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Andaikata engkau semua tidak ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan menciptakan suatu makhluk baru yang melakukan dosa, lalu mereka memohonkan pengamJustify Fullpunan padaNya, kemudian Allah mengampuni mereka itu."

(Riwayat Imam Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, andaikata engkau semua tidak ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan melenyapkan engkau semua, lalu mendatangkan suatu kaum lain yang melakukan dosa kemudian mereka meminta pengampunan kepada Allah Ta'ala, lalu Allah mengampuni mereka itu."

(Muttafaq 'alaih)


Daripada salah seorang isteri nabi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, tidak diterima daripadanya solat (selama) empat puluh malam."

(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mendatangi seorang dukun lalu mempercayai apa yang dikatanya atau menyetubuhi seorang perempuan yang sedang haid atau menyetubuhi seorang perempuan di duburnya, maka dia telah berlepas diri daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad."

(Riwayat Tirmizi : Bertaraf hassan)


Daripada Umar bin Al-Khaththab r.a., katanya:

Kepada Rasulullah s.a.w. disampaikan tawanan perang. Tiba-tiba ada seorang wanita dari tawanan itu berjalan menemukan seorang anak yang juga termasuk dalam kelompok tawanan tadi. Wanita itu lalu mengambil anak tersebut lalu diletakkannya pada perutnya, kemudian disusuinya.

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Adakah engkau semua dapat menduga bahawa wanita ini akan sampai hati meletakkan anaknya dalam api?"

Kami (para sahabat) menjawab: "Tidak" demi Allah (maksudnya wanita yang begitu sayang pada anaknya, tidak mungkin akan sampai meletakkan anaknya dalam api)

Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Nescayalah Allah itu lebih kasih sayang kepada sekalian hamba-hambaNya daripada kasih sayangnya wanita ini kepada anaknya."

(Muttafaq 'alaih)


Daripada Aisyah r.a. Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Dikumpulkanlah semua manusia di padang mahsyar pada hari kiamat dengan telanjang kaki, telanjang tubuh dan tidak berkhitan kemaluannya. "

Saya bertanya: "Ya Rasulullah, kalau begitu kaum wanita dan kaum lelaki semuanya dapat melihat antara yang sebahagian dengan sebahagian yang lainnya."

Beliau s.a.w. menjawab: "Hai Aisyah, peristiwa pada hari itu lebih sangat (dasyat) untuk menjadi perhatian mereka daripada memerhatikan orang lain."

Dalam riwayat lain disebutkan:

"Peristiwa pada hari itu lebih penting untuk diperhatikan oleh setiap orang - daripada yang sebahagian melihat kepada sebahagian yang lain."

(Muttafaq 'alaih)


Daripada Abu Hurairah r.a., katanya:
Rasulullah s.a.w. membaca (yang bermaksud) 'Pada hari itu bumi akan memberitahukan khabar-khabarnya' (Surah Az-Zalzalah, Ayat 4)'

Kemudian beliau s.a.w. bersabda, "Adakah kamu semua tahu apakah khabar-khabarnya itu?" Para sahabat berkata,"Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui."

Beliau s.a.w. lalu bersabda, "Sesungguhnya khabar-khabar yang akan diberitahukan itu ialah bahawa bumi itu akan menyaksikan pada setiap hamba, lelaki atau perempuan, perihal apa yang dilakukan di atas bumi itu. Bumi akan mengucapkan, 'Orang ini akan melakukan begini dan begitu pada hari ini dan itu. Inilah khabar-khabarnya. '"

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.


Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jikalau Allah Ta'ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu (wahai Jibril). Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang seluruh penghuni langit dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah kecintaan padanya di kalangan penghuni bumi."

(Muttafaq 'alaih)


Daripada 'Adi bin Hatim r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tiada seorang pun dari kamu, melainkan akan diajak bicara oleh Tuhannya, tidak ada antara dia dengan Tuhannya seorang penterjemah pun."

"Orang itu lalu melihat ke arah kanannya, tetapi tidak ada yang dilihat olehnya, melainkan amalan yang telah ia lakukan sebelum itu, dan ia melihat ke arah kirinya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan amalan yang ia lakukan sebelum itu,seterusnya ia melihat ke arah mukanya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan neraka yang ada di hadapannya itu."

"Maka dari itu, takutlah engkau semua pada siksa api neraka, sekalipun dengan jalan sedekah dengan belahan kurma."

(Muttafaq 'alaih)


Daripada Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu (kerana amat menakutkan). Beliau s.a.w. bersabda:

"Andaikata kamu semua tahu apa yang aku ketahui, nescayalah kamu semua akan tertawa sedikit dan akan menangis banyak-banyak. "

Para sahabat Rasulullah s.a.w. lalu menutupi masing-masing wajahnya sambil terdengar suara isaknya. (Muttafaq 'alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan:

Rasulullah s.a.w. menerima berita bahawa ada sesuatu tentang sahabat-sahabatnya, lalu beliau berkhutbah, kemudian bersabda:

"Ditunjukkanlah syurga dan neraka padaku maka belum pernah aku melihat sesuatu yang melebihi penglihatanku pada hari itu tentang bagusnya syurga dan buruknya neraka. Dan andaikata kamu semua dapat melihat apa yang dapat aku lihat, maka nescayalah aku semua akan ketawa sedikit dan menangis banyak-banyak. "

Maka tidak pernah datang pada para sahabat Rasulullah s.a.w. laitu hari yang lebih dahsyat lagi dari hari itu(tentang ngerinya khutbah yang diberikan oleh beliau s.a.w.) Para sahabat semua menutupi kepala masing-masing sambil terdengar suara esaknya.



Daripada Samurah bin Jundub r.a. bahawasanya Nabiullah s.a.w. bersabda:

"Di antara ahli neraka itu ada yang dijilat oleh api neraka sampai pada kedua tumitnya, di antara mereka ada yang dijilat oleh api sampai kedua lututnya, ada juga yang sampai ke empat ikat pinggangnya dan ada pula yang sampai di tulang lehernya."

(Riwayat Muslim)


Daripada an-Nu'man bin Basyir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli neraka pada hari kiamat itu adalah seseorang yang di bahagian bawah kedua kakinya diletakkan dua buah bara api yang dengannya itu mendidihlah otaknya. Orang itu tidak percaya bahawa ada orang yang mendapat siksaan yang lebih teruk daripada dirinya, padahal dialah yang teringan sekali siksanya."

(Muttafaq 'alaih)


Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa solat Subuh, maka ia adalah dalam tanggungan Allah, maka itu janganlah sampai Allah itu menuntut daripada kamu semua dengan sesuatu dari tanggunganNya"

(Maksudnya jangan sampai meninggalkan solat Subuh, sebab kalau demikian, lenyaplah ikatan janji untuk memberikan tanggungan keamanan dan lain-lain antara engkau dengan Tuhanmu itu.)

"Sebab sesungguhnya barangsiapa yang dituntut oleh Allah dari sesuatu tanggungannya, tentu akan dicapainya (yakni tidak mungkin terlepas), kemudian Allah akan melemparkannya atas mukanya dalam neraka Jahanam."

(Riwayat Muslim)



Daripada Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengirimkan seseorang untuk memimpin sepasukan tentera ke medan peperangan. Orang itu suka membaca untuk kawan-kawannya dalam solat mereka dengan Qulhu Wallahu Ahad sebagai penghabisan bacaannya. (Maksudnya, setelah membaca Al-Fatihah lalu dibaca surah lain, kemudian dibaca surah Al-Ikhlas) Setelah mereka kembali, hal itu mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w., lalu beliau bersabda: "Cuba tanyakanlah pada orang itu, mengapa melakukan yang semacam itu?" Mereka semua bertanya padanya, kemudian orang itu menjawab: "Sebab itu adalah sifatnya Allah yang Maha Penyayang, maka dari itu saya suka membacanya." Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w. (setelah diberitahu jawapan orang itu): "Beritahukanlah padanya bahawasanya Allah Ta'ala mencintainya. "
(Muttafaq 'alaih)

This entry was posted on 5:43 PTG . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Langgan: Catat Ulasan (Atom) .

0 ulasan